TH: Kesalahan yang cuba dimanipulasi

TH: Kesalahan yang cuba dimanipulasi />

HERET mereka yang terlibat ke muka pengadilan. Ini saya amat sokong. Penyelewengan berkait dengan harta rakyat adalah satu perkara yang berat.

Tularkan dengan sidang media dan sebagainya. Ini saya bantah keras. Bukan semua benda boleh dipolitikkan. Bukan semua benda perlu didedahkan di khalayak. Ia boleh memberi kesan secara langsung terhadap imej institusi yang berjasa besar terhadap rakyat Malaysia khususnya Muslim.

Tindakan meletakkan TH terus di bawah BNM agak merisaukan. Apatah lagi dengan pelantikan syarikat tujuan khas (SPV) yang merancang untuk menjual aset TH. Menjual aset bukan satu pelan pemulihan yang bijak dalam pengurusan korporat. Melainkan ada agenda tersembunyi bagi melemahkan institusi kewangan utama umat Islam di negara ini.

Serangan terhadap TH bukan berlaku kali ini sahaja. Dahulu Rafizi pernah mengeluarkan kenyataan sehingga mencetuskan panik, membuatkan ramai pendeposit mengeluarkan simpanan mereka. Sedangkan beliau sendiri yang memiliki ratusan ribu simpanan tidak melakukan demikian.

Satu persatu institusi yang melindungi kepentingan umat ini cuba diusik. Sudahlah orang Melayu merupakan kaum berpendapatan paling rendah berbanding Cina dan India, apa yang hanya ada pula diserang habis-habisan. Bukan mahu membela yang salah, tetapi lihatlah institusi yang menjaga kepentingan kaum lain di Malaysia. Bukan penyelewengan tidak pernah berlaku, namun ia tidak pula disensasikan.

Pengajaran kepada semua yang terlibat dengan institusi yang menggunakan nama agama; jagalah integriti. Islam kini menjadi sasaran kiri dan kanan. Apatah lagi di era Malaysia Baharu sekarang. Jangan ambil sikap acuh tidak acuh berkait integriti. Kadang-kadang banyak juga berlaku masalah salah laku yang tidak disedari. Punca utama adalah kerana tiada ilmu berkaitan integriti berorganisasi walaupun graduan syariah. Sudah menjadi fardu ain kepada seluruh penjawat awam mengetahui hal berkait rasuah, pecah amanah dan sebagainya.

Kita baru sahaja selesai berhimpun membantah ICERD. Sebahagian mungkin masih letih berhimpun. Adakah sekiranya perlu untuk kita sekali lagi turun ke jalanan bagi menangani kebejatan ini, kita sanggup lakukan? Masa ini komitmen akan benar-benar teruji. Selain masih dalam tempoh 'keletihan', persepsi membela pesalah juga adalah satu yang sukar untuk ditepis.

3 Rabiul Akhir 1440
11 Disember 2018

(ALANG IBN SHUKRIMUN) - HARAKAHDAILY 11/12/2018